LETAKKAN GELAS ITU
Seorang profesor memulakan kelas dengan memegang segelas air di tangannya. Dia mengangkat gelas tersebut dan bertanya pelajar-pelajarnya, “Agak-agak berapa berat gelas ini?”. “50 gram”... “100 gram”... “120 gram”, jawab antara mereka.
“Sebenarnya saya sendiri pun tak tahu, sehinggalah saya timbang gelas ini!”, jawab profesor. “Tapi persoalannya, apa yang akan berlaku sekiranya saya memegang gelas ini beberapa minit?”, tanya profesor. “Macam tak ada apa-apa berlaku, biasa aje...”, jawab seorang pelajar.
“Baiklah, sekarang apa akan berlaku kalau saya terus memegang gelas ini begini selama satu jam?”, tanya profesor lagi. “Mestilah lenguh, prof”, jawab pelajar.
“Betul tu! Kalau begitu, bagaimana jika saya terus memegang gelas ini begini selama satu hari?”, profesor terus bertanya. “Penat... penat. Tangan boleh kejang, prof...”, jawab seorang pelajar. “Teruk tu prof... Boleh jadi cacat... Kalau tidak pun, masuk hospital!”, seorang pelajar lain membuat lawak. Rakan-rakannya ketawa.
“Bagus..., bagus”, jawab profesor. “Tetapi, cuba perhatikan... Adakah berat gelas ini yang memberi kesan kepada kita? Tidak... Yang menyebabkan kita terasa lenguh dan sakit adalah kerana tempoh masa yang lama kita menanggung bebanan ini.” jelas profesor.
“Jadi bagaimana untuk mengatasinya?”, tanya profesor. “Letakkan gelas itu!”, jawab pelajar. “Betul, itulah jawapannya.” jawab profesor.
Masalah-masalah yang berlaku dalam kehidupan adalah seumpama ini. Kita mampu untuk memikirkan masalah dalam tempoh yang pendek. Sebaliknya, jika masalah atau tekanan berterusan tanpa penyelesaian, ia boleh memberi mudarat kepada diri kita. Sekiranya bertahan lebih lama, ia boleh merosakkan diri. Adalah penting bagi kita mencari penyelesaian bagi masalah yang dihadapi, atau setidak-tidaknya “letakkan dulu” sebelum anda masuk tidur.
No comments:
Post a Comment